Henti Rasa


"don't rush anything. when the time is right, it will happen"


Bismillah, Alhamdulillah.

Ikatan kian sempurna. Dua keluarga akan menjadi satu. Hati yang terpisah bakal bersatu. Tangan yang kosong sedia digenggam erat. Luahan rasa pasti dikongsi bersama.

Syukur aku diberi rezeki rasai kebahagiaan. Tiada henti rasa syukurku tiap saat. Jagakan perasaan ini, kerana hadirnya ia dengan izinMu. Bukan berharap pada dia, tapi berharap padaMu.

Bonda tanya orangnya seperti apa. Aku jawab, penyayang dia kerana tegasnya. Romantik dia, dengan nasihatnya. Manis dia, bersama keluarganya. Dan bonda gelak tiada sudahnya. Sesekali bermadah sama bonda hehe.

Ada yang tanya, bagaimana tahu sudah waktunya. Jawab aku, kerana yang hadir dariNya, saat kesulitan tapi Dia permudahkan, itu kebahagiaan dalam bentuk ujian. Tiada waktu yang salah kecuali tanpa izin Dia. Jadi aku terima ketentuanNya, untuk hidup bersama dia.

Sedikit luahan rasa, untuk berkongsi bahagia rasa.

Alhamdulillah, syukur padaMu. 




Perfect Time


"the Hearts pray for what they desire, but Allah responds with what is better for them"



Bismillah, alhamdulillah.

Dunya memang indah, terutama pada saat segalanya ikut perancangan kita, yang ditentukan Dia. Pada waktu apa yang dirancangkan itu jadi yang sebaliknya, yakinlah ada sebab kenapa Allah ubah rancangan itu. Sentiasa lihat pada sudut yang baik, kerana yang hadir dari Allah itu sentiasa yang terbaik buat kita.

Hari ini terbuka hati untuk menaip kerana ingin berkongsi rasa hati. Bukan rasa kecewa, tapi rasa bahagia. Moga bahagia ini sentiasa dapat menepis derita yang mungkin bakal tiba tidak kira masa. Rasa syukur padaNya, kerana aku orang yang dipilih untuk dihadirkan rezeki yang terindah dalam kehidupan dunya. Dan ingin sekali aku bawa bersama hingga ke Syurga. 

Air mata syukur itu sangat mendamaikan. Buat aku makin sayang padaNya, dan luah kasih tanda syukur aku padaMu. Perjalanan baru hendak bermula, dan moga perjalanan ini sentiasa dipermudahkan. Hadirnya kesusahan, biarlah dapat dirintangi dengan hati yang teguh, dan penuh kesabaran. Untuk rasai manisnya, perlu biasakan dulu dengan pahitnya. 

Ingin sekali menahan sakitnya, agar masa mendatang nanti aku tidak akan cepat melatah. Kesabaran itu ada manisnya, biar kelembutan jadi penawarnya. Aku tidak mencari, tapi Kau hadirkan. Maknanya Kau tahu aku sudah bersedia, dan Kau tahu aku memerlukan dia. 

Permudahkan urusan dia, permudahkan perjalanan kami. Berkati niat kami, dan restui hubungan ini. Kebahagiaan bukan ditangan sesiapa, kerana kebergantungan hanya padaMu. Sakit yang Kau hadirkan, hanyalah untuk berbalik padaMu. Terima kasih ya Rabi, kerana Kau menjaga hati dan hubungan ini. 

Teruskan menjaga, hingga kami bersatu, hingga akhir waktu, Amin.


to face

"Allah is witness to every concealed tear"


Hampir tenggelam dek kata kata orang yang mematahkan jiwa. Aku juga manusia biasa, yang akan retak hatinya. Senyum dalam kesakitan itu pedih. Hanya yang kuat sahaja yang mampu menahan. Dan akan terus bertahan.

Hampir sahaja ingin hentikan semua dan berbalik pada tujuan asal, hanya ingin belajar. Tapi apa guna hanya belajar tanpa ambil peluang untuk tambah ilmu pengalaman. Aku tidak pernah merancang untuk ada kehidupan seperti ini, tujuh hari dalam seminggu tanpa rehat yang mencukupi. Tapi aku pupuk pada diri, mana ada rehat untuk orang yang ingin berjaya. Dan pabila sudah berjaya, pasti akan ada banyak masa untuk diluangkan. Aku cuba untuk bersangka baik, dan aku yakin janji Allah itu pasti.

Aku perlu teguh pada segala rintangan yang cuba menjatuhkan aku. Aku seharusnya tidak mudah rapuh pada ujian dugaan yang menikam hati. Sesunggunya mereka tidak tahu. Dan yang tahu hanya aku dan Dia. Kerana itu juga aku memaafkan, walau mereka tetap dengan pendirian tanpa bertanyakan jawapan yang sebenar. Tidak perlu aku tegakkan dengan kebenaran, kerana tidak semua yang ingin dengar dan percaya pada hakikat kebenarannya. Dan senjata aku hanya melalui doa untuk melembutkan hati mereka semua.

Percaya pada rezeki masing masing. Bukannya tiada, tapi masanya belum ada lagi. Aku sendiri takut pada kegagalan. Dan kerana itu aku masih berusaha untuk berikan sedaya upaya aku yang masih ada. Jangan lihat semua orang itu sempurna. Tiap kebahagiaan, pasti ada dukanya. Dan aku sendiri masih bertarung dengan jiwa untuk terima takdirNya. Dan aku juga masih berjuang membelai hati untuk yakin, ini semua ujian dariNya untuk aku sabar dan kuat menerima hakikat. Rahsia itu sungguh berat, hakikat itu terkadang buat aku goyah. Tapi aku yakin disebaliknya pasti indah.

Nampak sangat mustahil. Nampak seolah sudah terlambat. Tapi dengan Allah, tiada yang mustahil. Aku risau dan goyah, aku takut dan runtun. Tapi aku masih cuba untuk lakukan, walau nampak seperti tidak mungkin. Aku cuma perlukan kekuatan, dan semangat untuk aku teruskan melangkah. Hanya Dia yang tahu niat di hati. Dia yang pegang hati, pemilik hati dan pengubat luka di hati.

Bila ujian sangat sukar, yakin la yang Allah sedang mendidik kita tentang sabar, dan bersangka baik. Dan janji Allah, selepas kesusahan pasti ada kemudahan. Dalam kepayahan juga akan ada kesenangan.

Untuk ibu ayah, dan Lillahi Ta'ala. 
Wallahi, He knows the Best.


Not Weakness


"having a soft heart in a cruel world is courage, not weakness"



Dunya.

Sakit lalu beralih. Terseksa, belajar, dan berubah. Sukar untuk meluahkan, hanya aku dan Dia yang tahu persis rasa hati. Dan Detik detik yang sukar, buat aku rasa ingin menangis tiap masa. Aku jadi lemah bila aku penat. Dan penat itu buat aku menangis sekuat hati. Ia melegakan, ia terapi untuk capai semula kekuatan. Kelemahan itu kekuatan aku. Segalanya dari Dia. Aku minta untuk terus teguh. Walau hakikatnya aku sudah penat untuk teguh berdiri.

Aku punya sebab tersendiri untuk menjauh. Kerana tekanan, aku pergi bersama hati sendiri. Bersendirian merawat luka, bersendirian usap hati untuk kekal kuat jalankan tanggungjawab. Tapi ada masa aku inginkan seseorang. Akan tetapi risau pula aku hanya menyusahkan. Aku ingin berkongsi, tapi aku tidak ingin masalah aku menjadi bebanan orang. Jadinya, aku makin menyakiti diri aku sendiri.

Tapi aku bahagia, aku syukur kerana pada masa aku rapuh, yang hadir adalah bondaku. Seolah tahu sedih aku perlu dihapuskan. Ia juga kekuatan, dan keberkatan buat aku agar dipermudahkan segalanya. Aku merindui mereka.

Saat saat ini, merupakan masa yang sukar. Aku tersepit di antara masa, tugasan, dan tanggungjawab diamanahkan. Aku ingin menyuarakan, tapi aku belum cukup kuat untuk menghampakan harapan. Dan akhirnya, aku menanggung sendirian. Tapi jadi sia sia bila aku persoalkan. Segala apa yang kita lakukan perlu ikhlas. Kerana tiap perkara yang hadir dalam kehidupan, segalanya ada sebab tersendiri. Boleh jadi ia membawa kepada seribu kebaikan, dan hindar diri dari seribu keburukan. Mudah mudahan, dengan izinNya.

Rapuh aku pabila memikirkan dia. Tapi siapa aku untuk meminta. Aku hanya mampu untuk terusan meluahkan padanya melalui doa. Sekarang tidak seperti dulu. Banyak juga yang telah berubah. Yang dulu ada kini sering tiada. Segala kata kata yang pernah diperkatakan dia menjadi kekuatan. Hanya dengan itu untuk buat sedih aku tersenyum. Dan bisik pada jiwa, untuk terusan fikir yang baik baik. Kerana sekarang belum masanya lagi. Aku mengerti walau aku cuba untuk mengerti beribu kali.

Banyak lagi hari yang perlu aku lalui. Dalam doaku sentiasa ku bisikkan agar aku mampu untuk terusan rintangi dugaan. Yakinkan pada diri yang aku kuat untuk melakukan. Hanya padaMu aku mohon kekuatan. Kerana hanya bergantung padaMu, hati aku tidak rasa dikecewakan.

Segalanya dariMu ya Rabi. Alhamdulillah


See The Good


"theres always something good coming. remember that"


Courage.
Hampir jatuh dengan sengaja. Hampir terlena dengan kesedihan. Mencari semula kekuatan, mencari tujuan asal untuk apa kekuatan itu. Dan tiada kuatnya aku, tanpa kekuatan dariNya.

Reason.
Tiada guna melangkah tanpa tujuan. Mencari erti kehidupan, buat aku jadi luluh. Inginkan keredhaan Ilahi. Bahagia aku di syurgaNya. Layakkah aku, tapi tidak pula ku sanggup selain syurga milikNya.

Aku bukan yang sempurna. Hati perasaan masih gagal ku tahan. Terkadang mudahnya jadi rapuh. Rapuh itu buat aku hiba. Apa perlu aku bersedih pada segala takdir yang telah ditetapkan olehMu, hingga terkadang aku persoalkan, membisikkan, aku tidak kuat menahan.

Aku mensyukuri segala kesakitan. Aku mensyukuri segala kritikan. Aku terima kerana itu tanda Dia menyayangi aku. Tiap kekhilafan, aku cuba perbetulkan, untuk terusan istiqamah, mencuba jadi hamba pada jalanNya.

Aku dapat lihat bezanya aku, dulu dan sekarang. Buat aku sentiasa hargai apa yang ada disekeliling. Buat aku sentiasa ingat, hidup ini tidak la lama. Dan mungkin masa yang kita ada, pada bila masa boleh jadi semakin berkurangan. Cukup bagiku, ada mereka yang menyayangi dan sentiasa mendoakan aku.

Harusnya aku, sentiasa yakin pada tiap takdir yang meruntunkan jiwa. Tiap yang berlaku, sentiasa ada hikmah pada balik ceritanya. Dia yang memegang hati, jadi Dia berkuasa untuk merubah hati. Untuk jaga, untuk kekalkan rasa hati yang sama, jaga ia dengan doa. Usap dengan kata kata yang ikhlas, dengan rasa yakin seyakin engkau pada Pencipta.

Pinta apa saja dengan Pencipta kita, inshaAllah.


Better by


"whatever you do, work at it will all your heart"


Assalamualaikum.

Luahan pertama buat tahun ini.

Makin hari rona kehidupan makin mencabar. Ada masa hilangnya pelangi, lalu mendung di hati. Dulu sering berkongsi rasa pada insan yang lain. Tapi aku mulai belajar, dan dengan perlahan untuk tidak menceritakan segalanya pada mereka. Biar sebaiknya, hanya antara aku dengan Ilahi.

Tidak mudah untuk merahsiakan. Kerana aku dulu sudah terbiasa dengan teman di sampingan. Tapi bila usia kau kian meningkat, kau akan sedar mengapa perlu berahsia. Kadang, itu yang terbaik. Mungkin ada yang turut merasa, tapi mungkin ada yang tertawa.

Sungguh, jauh disudut hati, dalamnya sentiasa banjir. Tiada henti hujanannya. Ujian dariNya, satu demi satu mendatangi aku. Memberi aku rasa yang terkadang tidak terdaya menahan peritnya. Aku terjatuh kerana lemah menahan dugaan. Aku menangis, rintih padaNya. Tapi lama kelamaan aku terbiasa dengan tangisan sendiri. Apa yang aku perlu, hanya kekuatan dari Ilahi.

Banyak perkara yang aku inginkan, tapi tidak berjalan mengikut perancangan. Kadang ada saja aral yang melintang. Tapi aku syukur dengan semua itu. Aku lihat sendiri, dengan segala aturan dariNya, semua itu menyelamatkan aku. Memberi peluang kepada aku untuk tidak berjalan di laluan yang salah. Memperlihatkan padaku, betapa besar kasih dan sayang dariNya. Betapa tiap perkara yang berlaku itu semuanya punya hikmah dan pengajarannya yang tersendiri.

Aku sedar, aku kutip dan simpan dalam hati jiwa, semat dalam akal ingatan, untuk tidak melakukan perkara yang salah berulangan. Tiap apa yang aku ingin dan hajatkan, aku minta dengan doa ikhlas pada Allah Ta'ala. Iya, doa itu senjata, doa adalah harapan dan penguat buat segala. Biar ikhlas, selaras dengan usaha berterusan.

Siapa kita untuk bersuara mempersoalkan ketentuanNya sedangkan Dia telah meletakkan titik. Bisik la pada hati, usap dan belai jiwa, terima dan laluinya dengan penuh sabar. Teguh dan utuh, walau hakikat nyata kadang hilang imbangan. Tapi yakin percaya, tiap ujian dariNya, semua itu hadiah buat kita. Ada manis dalam pahitnya, ada senyuman dalam tangisnya, ada senang dalam payahnya.

Hingga kini tanpa henti, tidak terhenti rasa syukurku padaMu. Kerana telah menghadirkan insan insan hebat untuk berdampingan denganku. Kau bawa pergi jauh, dan kau hadirkan dengan yang lebih indah. Dan ada dia yang teristimewa, yang aku jaga dengan doa. Bagiku, dia takdir terindah.

Kadang yang aku sangat perlu, hanya insan sekeliling yang menyokong dan memberi semangat padaku. Tapi aku tahu, segala pengharapan dan kebergantunganku biar la hanya padaMu. Kerana mengharap pada yang lain itu hanya membawa kepada kekecewaan.

Terima kasih atas peluang ini, untuk aku belajar sedalamnya agamaMu, untuk aku berhijrah langkah demi langkah, untuk aku perbaiki segala kekhilafan, untuk aku bertaubat dan mohon keampunan dariMu, kerana tiap masa, aku adalah insan yang berdosa.

Manisnya ujian. Percaya Ilahi.