Kejar

Kecewa aku, masih menyayangi dia. Kecewanya aku, menyalahkan diri sendiri. Kekecewaan aku, pergunakan orang. Berhari yang lalu, kebenaran aku luahkan. Apa yang tersirat di hati, aku kongsikan. Sampai satu waktu, bila giliran aku pula yang dihadapkan dengan kebenaran, aku jadi rapuh. Terdiam juga tersentuh.

Orang buat aku, aku buat orang. Aku buat orang, orang buat aku. Begitulah kehidupan. Yang nampak tenang tu rupanya serabut. Susah dah nak rasa sakitnya sebab dah terbiasa. Aku dah banyak merasa. Semua aku telan. Orang tuduh macam macam, semua aku telan. Orang tunding jari kat aku, aku tunduk mengaku salah. Orang buat cerita buruk pasal aku, aku telan, diam. Sebab aku tahu, nanti akan ada juga orang buat cerita buruk pasal dia. Hidup ni kan berputar macam roda. Kau buat orang, orang buat kau. Jangan nak menuduh kalau takde bukti. Jangan nak pandai pandai buat kesimpulan kalau tak tahu apa apa. Senang cerita, jaga tepi kain sendiri lah.

Dengan perlahan, rasa rindu juga sayang kepada dia semakin menghilang. Selama ini, aku sentiasa mendoakan kami. Mungkin kerana itu hati aku sukar untuk melupakan dia. Tapi bila aku berhenti mendoakannya, aku semakin bisa untuk terus hilangkan dia dari kehidupan. Tidak lagi menangis, tidak lagi rasa peritnya kerinduan. Doa yang sering aku mohon, bahagiakan kami, satukan kami. Dan kini buat yang terakhir, bahagiakan kami, pisahkan kami, kerana kami tidak lagi sebati. Hilangkan dia dari hati, jauhkan dia dari pandangan. Yakinkan aku, dia bukan jodohku. Amin ya Rabb..

Apa yang lepas, semuanya pengalaman, pengajaran. Sudah banyak tempat persinggahan aku berlabuh. Semuanya meninggalkan rasa yang pahit, kesan yang mendalam. Seringkali terjatuh dan tidak mungkin aku terusan jatuh. Terima kasih pada semua yang telah banyak mengajar aku. Terlalu banyak. Semua itu buatkan aku untuk terusan perbaiki diri. Jangan terlalu yakin bahawa dia akan menjadi milik kita selamanya. Kadang apa yang dimiliki itu pasti akan diambil. Jangan terlalu sayang kerana tidak mustahil sayang itu bertukar benci. Satu persatu kenangan aku imbas. Kemudian aku tiup jauh imbasan itu. Berikan kekuatan. Kuatkan hati aku.

Tidak akan tenang hati ini selagi tidak melepaskannya. Genap dua tahun, akan aku lepaskan. Bila tiba waktunya, aku akan terima keikhlasan orang lain tanpa rasa takut. Terlalu berhati hati sehingga menyakiti. Lebih baik disimpan. Simpan untuk menanti yang terbaik. Buktikan apa yang dijanjikan. Ikatan kita walau sebagai teman, sudah cukup membahagiakan.

Kejar kejayaan. Kemudian, kejar apa yang kita mahukan.

Tee Rak


Salam Teman.

Minta maaf untuk persahabatan kita yang semakin renggang. Minta maaf sebab sering kali menyakiti hati awak. Sebelum ini, memang secara tiba saya rapat dengan awak. Lebih rapat daripada biasa. Saya akui, saya rapat bersebab. Saya kecewa dengan suami saya. Saya cuba untuk ikuti langkah dia. Bermain kata sayang dengan orang lain. Bodohnya saya sebab terfikir untuk lakukan perkara seperti itu. Mangsanya awak. Saya seolah beri harapan kepada awak. Kemudian, saya hancurkan.

Melihat keikhlasan awak, kebaikan awak, buat saya serba salah. Awak terlalu baik. Terlalu baik untuk saya. Saya pernah cuba untuk menyayangi awak lebih dari seorang sahabat. Tapi saya tak boleh. Saya masih sayangkan suami saya. Sepenuh hati sayang. Sayang yang kuat itu membutakan segalanya. Ramai yang inginkan saya bersama awak. Tapi siapa mereka untuk memaksa saya. Siapa saya ni nak paksa hati sendiri sayangkan orang lain. Memang sekarang ni saya rapat dengan ramai teman. Tapi hati saya masih tetap setia untuk suami. Mungkin akan bertukar pemilik. Tapi bukan sekarang.

Semakin lama, saya semakin tertarik dengan awak. Kemudian saya menjauh. Tertarik bukan bermakna mahukan lebih. Cuma selesa berkawan dan sayang awak sebagai teman. Saya nak kekal rapat, tapi takut awak salah ertikan dan semakin berharap. Saya nak terusan menjauh dari awak tapi takut awak kecil hati dengan saya atau beranggapan saya tak suka berkawan dengan awak.Kadang banyak perkara yang saya kongsikan dengan awak sebab saya selesa dan percaya awak. Kadang saya berhenti dari buat semua tu sebab saya takut saya dah mainkan hati awak.

Lagu yang awak cipta, nyanyikan untuk saya bersama dengan petikan gitar, mendalam sangat maknanya. Apa yang tersirat, dapat saya rungkaikan. Saya dapat rasakan apa yang awak rasa. Tapi sayangnya awak dah pilih orang yang salah. Untuk apa menunggu pada orang yang tak sudi sedangkan ada orang yang dah lama menunggu kita. Soalan itu berputar pada kehidupan kita. Kenapa manusia tidak bersyukur, tidak menerima dengan apa yang diberikan. Mungkin kerana ada antara kita yang memilih dan tidak redha, tidak ikhlas menerima.Saya dah tiada hati nak mencari pengganti. Apa lagi bercinta. Saya taknak rosakkan persahabatan kita.

Saya seronok dan sangat bahagia sebab ada ramai teman di samping saya. Memahami dan kadang memarahi sebab mereka mahukan yang terbaik untuk saya. Rapat saya dengan mereka, tidak pernah bermaksud lebih melainkan hanya untuk berkawan. Seperti awak, teman yang sangat baik dan sering buat saya tertawa. Untungnya saya punyai sahabat seperti kalian semua. Selalu buat saya bangkit bila saya jatuh tersungkur. Menghulurkan tangan dan saya sambut dengan senyuman. Sangat hargai.

Maafkan saya. Akan ada satu masa kita akan terputus hubungan untuk sementara atau mungkin selamanya. Waktu itu, mungkin saya jahat sebab tinggalkan awak tanpa ada alasan kukuh. Saya tak pernah menjanjikan apa apa dengan awak. Cuma saya akan kekal berkawan dengan awak sampai bila bila walaupun kita akan saling terpisah nanti.

Kejar impian. Jangan ikutkan kata hati yang hanya membawa kepada kekecewaan. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Akan ada perempuan yang baik untuk awak satu hari nanti. Saya doakan kita semua cemerlang dalam pelajaran, bahagia dalam kehidupan, sukses dunia akhirat juga mendapat jodoh yang baik baik, sama ada cepat atau lambat.

Saya nak awak, kawan dengan saya sampai bila bila.
Chan Rak Ter, Tee Rak.
Hanya sebagai teman..




Your girlfriend,
Sunshine


Kesilapan Lampau


Beraya haji di Felda Ulu Belitong, Kluang, Johor. Malam ini, tiada apa yang dilakukan. Hanya duduk bersila, pandang lappy, membaca post post lalu yang aku kongsikan. Baca dan baca.. aku rindukan dia. Banyak juga telah aku lakukan. Banyak yang aku tahan, banyak yang aku telan. Dari bulan Mei hingga ke saat ini.. ternyata hati aku masih lagi tersimpan untuk dia. Tidak, bukan berharap. Tapi aku dah biasa dan terbiasa simpan hati ini untuk dia.

Pedih juga melihat keadaan dia sekarang ini. Silap aku ke.. aku sendiri sakit lihat dia derita kecewa. Dia juga terusan berharap dan dia benar sangat menyayangi perempuan itu. Hati ingin menangis. Tapi untuk apa menangis. Kisah aku dan dia kan sudah lama tertutup. Aku ingin dia bahagia. Memang sukar untuk katakan ini, tapi aku berharap dia masih lagi bersama dengan perempuan yang dia terlalu sayang itu. Pedih untuk mengiyakan, tapi itu kenyataan. Dia gembira dan aku tahu dia mahukan perempuan itu hingga ke penghujungnya. Sememangnya aku bukan untuk dia. Jadi, tidak salahkan kalau aku mendoakan dia untuk perempuan itu. Waraskah aku mengatakan ini. Aku waras dan tidak langsung berkhayal. Seandainya dia masih bersama aku tika ini, tapi kalau langsung tiada bahagianya, tiada guna. Dua dua terluka. Jadi lebih baik biarkan salah seorang sahaja terluka. Biar aku yang terluka. Aku mahu dia sembuh. Seseorang, bantu dia bangkit. Mungkin aku akan sakit melihatnya dalam diam. Tapi biarlah dia sembuh dari kedukaan. Berikan lah dia kebahagiaan. Aku sangat sayangkan dia.. mohon buat dia bahagia.

Aku tidak mahu memberi harapan pada teman. Aku pernah cuba tapi tidak mampu. Cara paling ikhlas apa pun yang teman itu lakukan, aku tetap tidak boleh menerima dia masuk ke sudut paling istimewa dalam hati aku. Bermacam dia lakukan. Tidak pernah gagal menggembirakan. Terusan melayan kerenah aku yang bermacam. Kadang segarang singa tetap dia layankan saja. Kenapa dia tetap bersabar. Dia ada nyanyikan sebuah lagu. Itu lagu ciptaannya, buat aku. Aku sayu.. aku takut mengecewakan orang. Aku memang sedar yang aku tidak akan berikan hati ini pada siapa siapa. Bukan aku berlagak tidak mahu terima. Cuma aku tidak rela untuk hidup dalam perhubungan yang tidak aku ikhlaskan. Jangan salah faham dengan apa yang aku katakan ini. Bukan tidak suka. Aku suka, cuma dengan cara bersederhana. Tidak lama lagi kita juga akan terpisah. Saat itu aku percaya, kau juga akan mula melupakan aku. Ada perempuan yang lagi baik buatmu. Jangan menanti aku. Aku sendiri tidak pasti siapa yang hati aku akan terima. Buat masa sekarang, aku tidak mahu sesiapa selain dia.

Kurang dari sebulan sahaja. Semuanya akan berubah. Kehidupan akan semakin mencabar. Aku sedang persiapkan diri mengharungi segala kemungkinan. Mungkin aku akan gagal. Tapi gagal tidak semestinya harus terusan gagal. Positifkan diri, terusan bangkit majukan diri. Berdiri sendiri tanpa tiada siapa berada di samping. Itu juga cabaran. Tiba masa perlu berani berdiri di kaki sendiri. Aku perlu sabar untuk mendapatkan yang terbaik. Doa dan usaha, perlu sebati. Kalau kita ikhlaskan mahukan sesuatu, insysAllah tidak akan sia sia kita menunggu. Buat masa sekarang, terusan berjalan kehadapan. Tiap persinggahan itu pasti ada hikmahnya. Kesilapan lampau, jangan pernah diulang. Pengajaran jadikan pedoman.

Sekian.





Telah Tertulis

Bismillah..
Apa makna pabila coretan ini ditampilkan. Maknanya, aku perlu meluah. Tidak tertahan untuk terusan menyimpan. Waktu lalu, aku dituduh hipokrit. Hipokrit kerana apa. Watak aku berlaku baik juga konon buat buat baik. Itu maksudmu. Sayangnya engkau silap. Tidak mengenali aku tapi mahu menilai. Nilaian kau cuma dari luaran.

Buat dia, kenapa terlalu yakin saya sedang mengejar awak. Ingat, saya dah pergi tapi awak yang panggil. Jangan buat buat lupa dan jangan nak ubah cerita. Saya nekad enggan pandang belakang lagi tapi awak yang buat saya berpaling semula. Awak tahu awak kelemahan saya jadi kenapa awak perlu lagi ada untuk saya. Awak yang harus pergi jauh. Sebab bila awak pergi, diwaktu saya memanggil awak, saya tahu awak takkan sesekali paling kebelakang, memandang saya. Tapi kalau saya, bila awak memanggil saya, sesaat dua pasti saya sudah berada di samping awak. Jadi, terusan jauhi saya. Jangan panggil bila hanya rasa kasihan. Walau niat awak baik, tetap ada yang tidak suka. Jadi pergilah. Kejar kebahagiaan awak.

Payah untuk aku hilangkan rasa ini. Sayang, rindu, masih kekal ada dalam nyawaku. Sedar, aku cukup sedar, walau apa jua, dia dan aku tidak mungkin bersatu semula. Buat tahun ini, cuma sekali aku dapat lihat dia. Hanya lihat dari jauh, dan aku enggan bertemu dia. Bandaraya bersejarah, tempat dimaksudkan. Mohon, jangan temukan dia lagi pada aku. Suami aku tetap masih sama, kekal di jiwa. Tapi dia, hanya khayalan yang perlu aku lenyapkan.
Sampai bila akan terusan begini. Sampai hati aku bersedia punyai pemilik yang baru. Buat teman, maaf kerana aku tidak dapat menerima. Cukup berkawan. Aku takut bila berkawan yang luar biasa, kita akan jadi asing buat antara satu sama lain untuk masa mendatang. Kemanisannya semua akan hilang dan yang ada hanya pahit. Berjanji untuk tidak terjadi, pasti akan patah juga janjiannya. Aku pernah dipenuhi janjian. Tapi janji hanya tinggal janji. Janji yang membawa harapan, sudah menjadi janji yang membinasakan hati.

Penat untuk meyakinkan. Penat menjadi seorang yang jujur. Aku pernah menjadi api. Api melawan api. Tapi dia telah menundukkan aku. Aku bertukar warna. Menjadi air, sabar melawan api. Tapi ada satu tika, tidak tertahan pabila dihentam. Hentam semula tapi cukuplah. Biar aku diam. Aku penat.

Kadang api tidak boleh dilawan dengan api.
Kadang diam tidak semestinya mengalah.
Kadang menurut tidak bermakna kalah.
Kadang orang yang kuat bukanlah orang yang menunjukkan amarah.
Tapi orang yang menyorokkan amarah, bertindak dalam diam dan sepi.

Sudah tidak selara dulu. Aku senyum kerana benar gembira. Senyum lebar itu kerana mahu menangis. Aku telankan saja air mata. Aku masih punya pilihan untuk bahagia. Bukan masanya lagi. Jodoh itu ada. Cuma tidak pasti siapa. Dekat macam mana sekalipun, kalau dia bukan jodoh kita, jadi tetap memang dia bukan jodoh kita. Tapi, jauh mana pun dia, kalau dia memang jodoh kita, setinggi mana pun aral, setajam mana pun likunya, dia tetap akan menjadi milik kita. Jodoh kita telah tertulis. Berdoa untuk mendapat yang terbaik. Sabar menunggu. Kejar impian dahulu.

Sekian.