Better by


"whatever you do, work at it will all your heart"


Assalamualaikum.

Luahan pertama buat tahun ini.

Makin hari rona kehidupan makin mencabar. Ada masa hilangnya pelangi, lalu mendung di hati. Dulu sering berkongsi rasa pada insan yang lain. Tapi aku mulai belajar, dan dengan perlahan untuk tidak menceritakan segalanya pada mereka. Biar sebaiknya, hanya antara aku dengan Ilahi.

Tidak mudah untuk merahsiakan. Kerana aku dulu sudah terbiasa dengan teman di sampingan. Tapi bila usia kau kian meningkat, kau akan sedar mengapa perlu berahsia. Kadang, itu yang terbaik. Mungkin ada yang turut merasa, tapi mungkin ada yang tertawa.

Sungguh, jauh disudut hati, dalamnya sentiasa banjir. Tiada henti hujanannya. Ujian dariNya, satu demi satu mendatangi aku. Memberi aku rasa yang terkadang tidak terdaya menahan peritnya. Aku terjatuh kerana lemah menahan dugaan. Aku menangis, rintih padaNya. Tapi lama kelamaan aku terbiasa dengan tangisan sendiri. Apa yang aku perlu, hanya kekuatan dari Ilahi.

Banyak perkara yang aku inginkan, tapi tidak berjalan mengikut perancangan. Kadang ada saja aral yang melintang. Tapi aku syukur dengan semua itu. Aku lihat sendiri, dengan segala aturan dariNya, semua itu menyelamatkan aku. Memberi peluang kepada aku untuk tidak berjalan di laluan yang salah. Memperlihatkan padaku, betapa besar kasih dan sayang dariNya. Betapa tiap perkara yang berlaku itu semuanya punya hikmah dan pengajarannya yang tersendiri.

Aku sedar, aku kutip dan simpan dalam hati jiwa, semat dalam akal ingatan, untuk tidak melakukan perkara yang salah berulangan. Tiap apa yang aku ingin dan hajatkan, aku minta dengan doa ikhlas pada Allah Ta'ala. Iya, doa itu senjata, doa adalah harapan dan penguat buat segala. Biar ikhlas, selaras dengan usaha berterusan.

Siapa kita untuk bersuara mempersoalkan ketentuanNya sedangkan Dia telah meletakkan titik. Bisik la pada hati, usap dan belai jiwa, terima dan laluinya dengan penuh sabar. Teguh dan utuh, walau hakikat nyata kadang hilang imbangan. Tapi yakin percaya, tiap ujian dariNya, semua itu hadiah buat kita. Ada manis dalam pahitnya, ada senyuman dalam tangisnya, ada senang dalam payahnya.

Hingga kini tanpa henti, tidak terhenti rasa syukurku padaMu. Kerana telah menghadirkan insan insan hebat untuk berdampingan denganku. Kau bawa pergi jauh, dan kau hadirkan dengan yang lebih indah. Dan ada dia yang teristimewa, yang aku jaga dengan doa. Bagiku, dia takdir terindah.

Kadang yang aku sangat perlu, hanya insan sekeliling yang menyokong dan memberi semangat padaku. Tapi aku tahu, segala pengharapan dan kebergantunganku biar la hanya padaMu. Kerana mengharap pada yang lain itu hanya membawa kepada kekecewaan.

Terima kasih atas peluang ini, untuk aku belajar sedalamnya agamaMu, untuk aku berhijrah langkah demi langkah, untuk aku perbaiki segala kekhilafan, untuk aku bertaubat dan mohon keampunan dariMu, kerana tiap masa, aku adalah insan yang berdosa.

Manisnya ujian. Percaya Ilahi.



Post a Comment