Endure Patiently


"endure patiently, with a beautiful patience"


Assalamualaikum.

Alhamdulillah, berkesempatan meluah rasa sebelum 2016 meninggalkan kita. Dan ini post yang terakhir buat tahun ini.

Tiap tahun, berbagai perkara aku hadap, pelbagai perasa aku hadam. Jatuh bangunnya, sedih tangisnya. Semua itu walau pahit, tapi banyak mengajar aku untuk lihat dari sudut yang baik. Berkali Allah tunjuk, tapi kadang seolah tidak mahu menerima. Berkali lagi ulang kesilapan yang sama, dan akhirnya kita yang sakit sendiri. Tidak la menyesal. Tapi aku tahu itu pengajaran untuk dijadikan teladan. Jangan menyakiti, atau nanti kita sendiri yang disakiti.

Selalu kita dengar, tiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Iya, tidak dinafikan. Boleh jadi sesuatu perkara yang kita hajatkan itu tidak tercapai dalam masa terdekat, Mungkin kerana Allah tahu kita belum bersedia. Dan boleh jadi limpahan rezeki buat kita akan dikurniakanNya pada masa mendatang dan bukan sekarang. Mungkin kerana Allah ingin kita rasa susah peritnya mencari rezeki. Dan pabila hadirnya kesenangan, kita akan dapat nikmati manisnya kesabaran, dan hargai tiap usaha yang telah kita berikan.

Aku hargai pada tiap insan yang sering ada disamping. Termasuk yang jauh di mata tapi sanggup berikan masa. Ada yang kata, aku ini banyak rahsia. Terkadang menangis secara tiba, dan bila ditanya, aku senyum sahaja. Kadang terus hanyut dalam pelukan, dan nangis sepuasnya. Bila ditanya kenapa, aku diam sahaja. Mungkin benar kata mereka. Hati aku mudah rapuh. Tapi cepat kembali pulih. Walau diri aku sendiri, aku juga tidak mengerti.

Masuk tahun baru, dan azam juga baru. Alhamdulillah, apa yang aku hajatkan buat tahun ini, sedikit sebanyak semuanya tercapai. Tahun mendatang ini, mungkin cuba ubah diri aku untuk jadi yang lebih baik dan teruskan beristiqomah. Umur pun sudah masuk puluhan. Perancangan untuk ke fasa yang lagi serius juga ada, dan sentiasa diselitkan dalam doa.

Semoga impian kita semua akan tercapai. Usaha dan doa yang berterusan. Yakin percaya padaNya. Andai terjatuh, akan terus berdiri teguh. Andai rasa hampa, cepat lah berkongsi rasa denganNya. Disamping minta kekuatan dan ketabahan.

Ujian sebanyak apa yang bakal dilanda kita nanti, moga kita dapat hadapinya dengan penuh kesabaran. Biar iman terusan bertambah, agar selamat dari terusan mengumpul dosa. Takwa biar tinggi, kerana itu yang membezakan kita. Ketakwaan kita pada Ilahi.

Dengan nama Allah, aku bersyukur atas segala ketentuan dan takdirMu. Dengan izin Allah, moga aku dapat capai pada segala perkara yang aku hajatkan.

InshaAllah, Amin ya Rabb.


No comments: