Berpaling

Sudah lapan belas tahun satu hari berada di dunia ini, masih berpijak di dunia yang nyata, Alhamdulillah. Harapan untuk umur yang baru agar menjadi seorang insan yang sering menghargai, dan sentiasa ikhlas membantu, juga tidak mudah berikan hati pada sesiapa. Ingin cemerlang dalam pelajaran, dan berikan keputusan yang terbaik buat keluarga. Selain itu, ingin juga berhijrah untuk menjadi seorang muslimah di sisi Allah. Semuanya tu insyaAllah, minta dipemudahkan dan diperkuatkan hati juga diri untuk harungi segala liku tajam dan ombak deras yang mungkin akan melanda.

Terharu buat sahabat dan rakan yang mengingati ulangtahun kelahiran. Hargai usaha mereka untuk beri ucapan ikhlas. Sahabat yang banyak membantu, dan sentiasa ada bila sangat memerlukan. Saat ini, masih juga menanti ucapan darinya. Tapi aku tahu penantian itu tiada gunanya. Aku sedar, aku memang bukan lagi keutamaannya. Sukar untuk percaya. Tapi itulah hakikat sebenar. Fatin Amira, tolong bangun dari mimpi.

Mungkin ini jawapannya. Cinta itu tidak semestinya dimiliki. Sayang itu kadang tidak disayangi semula. Soal hati dan rasa cinta aku perlu letak ketepi. Bantu aku kuatkan hati. Tidak mahu tunjuk pada dunia betapa kecewanya aku pada percintaan yang masih aku pertahankan. Enggan tunjuk kesedihanku. Enggan pertontonkan kelemahanku. Biar aku kekal jadi seorang insan yang sentiasa menjadi tempat luahan kekecewaan orang. Aku ingin membantu mereka dari segi rasa dan perasaan. Nasihati dari apa yang telah aku pelajari. Kadang cinta mengajar kita mengalah untuk mengekalkan perhubungan. Dan kadang cinta mengajar kita untuk berpaling tadah dari pasangan kerana hati tidak kuat pada yang satu.

Cuma ingat, jangan salah anggap dan jangan serkap jarang, tuduh dia curang kalau kau tak pasti kesahihannya. Kalau kau meragui, selami hati dia. Kalau kau betul cinta, kau perlu percaya dia. Dan bila kau berpaling dan berputus asa, itulah pengakhirannya. Kau penat dan enggan pertahankan. Ingin mengubati dan kau pilih cara mudah, kau jaga hati kau dan pergi mencari cinta lain. Dan bila kau gagal dalam percintaan lagi, gagal dan gagal, kau harus kenal pasti kenapa. Saat itu, tolong berhenti. Rehatkan hati. Jangan terus sakiti hati sendiri. Berhenti mencari dan biar ia datang sendiri.

Cukup.

No comments: